BIDUANDA

Ikon

satu dunia satu agama satu tuhan

Belajar Daripada Air


RAMAI membahaskan bahawa New World Order (NWO) akan tampil menguasai politik dunia, namun terlupa berbicara bahawa NWO sudah lama terlaksana dan sedang galak tampil ke wajah kita. Malaysia juga ada proksi yang tidak pernah lelah berusaha untuk menjayakannya melalui penglibatan perjuangan politik.

Perlaksanaannya secara global pula dijayakan melalui dasar-dasar pelbagai negara bagi mewujudkan sistem kerjasama dalam pelbagai lapangan ekonomi serantau, keamanan dan persefahaman global yang kononnya langkah terbaik untuk menemui keamanan serta keharmonian sejagat. Dalam hal ini, agama menjadi percaturan paling besar, umpama watak raja dalam permainan catur yang harus ditawan. Untuk menjayakannya, agama harus dipisahkan daripada norma-norma urusan manusia, laksana memisahkan hidrogen daripada oksigen dalam makhluk bernama air di dalam makmal berupa papan catur.

Apabila hidrogen dipisahkan daripada ikatannya dengan oksigen, maka hidrogen akan berisiko untuk menghasilkan letupan dan kemusnahan. Oksigen yang terpisah itu pula menjadi penyumbang kepada berlakunya letupan dan kebakaran yang akhirnya memusnahkan. Oksigen dan hidrogen tidak wajar dipisahkan daripada dalam diri makhluk bernama air, andai terpisah jua, air akan hilang sifatnya, letupan akan berlaku.

Sebaldi air boleh diumpamakan sebagai akidah sekumpulan kecil atau akidah umat Islam dalam sesebuah negara. Jika sebaldi air berjaya dipisahkan antara hidrogen dengan oksigen, maka kuat juga letupan hidrogen yang terhasil bilamana ia terdedah kepada agen pencucuh (spark element) seperti api. Namun, jika seluruh air di lautan berjaya dipisahkan hidrogen dan oksigen, maka seluruh dunia akan meletup dan hancur.

Sekularisme itu seumpama keadaan terpisahnya hidrogen dengan oksigen daripada makhluk bernama air. Hidrogen umpama kekuatan pegangan tauhid yang dipegang oleh manusia, jika pegangannya teguh, ia mampu menjadi senjata yang hebat. Manakala oksigen pula umpama urusan-urusan yang diperlukan manusia. Andai akidah dan urusan manusia dipisahkan melalui sekularisme, maka juga letupan dan kehancuran akan melanda. Namun, sedikit mustahil memisahkan oksigen dan hidrogen daripada air, tetapi tidak mustahil untuk menjayakan sekularisme.

Jaringan sekularisme politik dunia sudah bertaut dalam NWO. Bertaut melalui kerjasama para pemimpin politik dengan badan-badan dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang sentiasa menekan para peminjam melalui perangkap bayaran faedah cara Barat dan akhirnya menjerumuskan sesebuah negara ke arah tanggungan hutang yang tidak akan mampu dibayar semula dan akhirnya terpaksa tunduk kepada kehendak-kehendak Barat bagi melunaskan hutang piutang, juga melalui persidangan-persidangan ekonomi seperti G-8, APEC dan lain-lain yang serupa fungsinya ke arah jaringan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara-negara mengikut resipi Barat.

Pemimpin-pemimpin politik mahupun yang beragama Islam pada zahirnya juga semakin galak berbicara di pentas antarabangsa mempromosi pluralisme agama (simptom terbesar dalam penyakit NWO), sudah secara berani dan terang-terangan tidak mengangkat Islam sebagai pembawa kebenaran yang menolak semua akidah lain yang tidak mentauhidkan Allah secara mutlak.

Sudah secara berani mempersundalkan agama dengan mengatakan bahawa lebih kurang bermaksud “tidak wajar mengatakan agama lain adalah salah dan satu agama sahaja yang betul” walhal mengetahui bahawa Islam sangat tegas menyatakan pendirian kebenarannya dengan menolak semua akidah agama lain supaya tidak bercampur aduk dengannya.

Suara-suara senada ke arah persamaan persefahaman ekonomi, politik malah akidah kelihatan sedang cuba dibawa ke arah titik yang serupa, titik mekanisme NWO. Kelihatan perlahan-lahan sedang pergi ke arah yang senada dengan ruang lingkup pemikiran Barat. Kelihatan pemikiran semua orang sedang dibawa oleh pemain-pemain politik ke arah pembaratan budaya manusia yang berpusat ke arah Barat sebagai kiblat kebudayaan sedunia.

Blok-blok dunia sedang dicantum melalui proksi-proksi politik yang dijanjikan kuasa serta kedudukan. Usaha proksi-proksi ini pula ialah memujuk pemikiran orang ramai ke arah penerimaan terhadap nilai-nilai baru yang langsung tidak bernilai. Pandang kepada cantuman nilai ideologi.

Dalam situasi kini, dunia semakin menerima modul sosial, ekonomi dan politik cara Barat. Promosi pluralisme di pentas dunia pula jelas menonjol walaupun di kalangan pemimpin yang mengaku Islam. Tidak lagi berbicara memperjelaskan mengenai agenda penubuhan negara Islam juga petanda jangkitan simptom penyakit sekularisme. Tunduk kepada dominasi sekuralis juga adalah petanda dijangkiti sekularisme. Petanda dijangkiti wabak Novus Ordo Seclorum. Petanda bahawa antibodi pendirian (keteguhan terhadap matlamat) sudah semakin lemah dibaham jangkitan NWO bawaan sekularis.

NWO juga tidak salah jika dikatakan adalah suatu dasar global yang membawa seluruh isu pemikiran dunia ke arah satu titik persamaan yang dikongsi bersama untuk mencapai sesuatu yang kononnya dinamakan persefahaman sejagat. Bagi mencapai persefahaman ini, maka seluruh pemikiran harus dipusatkan dan paling penting memainkan putar belit akidah agama melalui pluralisme adalah satu idea yang difikirkan berpotensi oleh sekularis bagi kononnya menyelesaikan isu-isu ketegangan hubungan antara penganut-penganut agama berbeza.

Bagi menjayakan semua itu, pemikiran majoriti harus dikuasai sebaik mungkin. Setiap pendedahan maklumat yang memperlihatkan permainan kotor pemain NWO harus sedaya upaya dielakkan daripada terus sampai kepada majoriti yang dinamakan audiens.

Maka dengan itu, audiens diberitahu supaya tidak mempercayai maklumat-maklumat tertentu dan menjauhi diri daripada membaca atau menonton bahan-bahan maklumat seperti itu. Kesannya, maklumat mengenai perkara itu tidak sampai kepada audiens kerana audiens mengambil langkah menjauhi segala akses terhadap maklumat tersebut sebagaimana diperintahkan oleh pemain NWO yang mereka percaya sebagai pemimpin berwibawa. Maklumat itu walaupun pada dasarnya hanya bertujuan mengajak orang ramai berfikir bagaimanapun gagal sampai kepada audiens dan kesannya, audiens tidak dapat berfikir kerana menjauhi alat-alat bantu fikir iaitu maklumat-maklumat yang dilarang tadi (practical and true informations are forbidden to be delivered to NWO audiences). Dalam permainan ini, pemain NWO tadi sudah berjaya mengawal audiens daripada menilai maklumat-maklumat yang mampu menjejaskan kredibilitinya.

Apabila semua maklumat yang bertujuan mengajak orang ramai berfikir itu dijauhi sepenuhnya oleh audiens, maka pemain NWO tadi lebih mudah untuk mengasuh pemikiran audiens dengan idea-idea NWO seperti pluralisme, penyelesaian masalah ekonomi yang tidak praktikal iaitu yang lebih kepada motif memikat sokongan majoriti berbanding daya praktikal pelaksanaannya dan sebagainya. Idea-idea itu pula akan mudah diserapkan tanpa gangguan (distortion) maklumat-maklumat yang lebih praktikal sebagai alat bantu fikir. Untuk tidak menjadi mangsa, belajarlah daripada semua maklumat dan menilai maklumat-maklumat itu dengan akal yang waras.

NWO sudah dilaksanakan di hampir penjuru dunia. Lihat contoh bayangan ini, 10 buah negara menjadi anggota kepada Pertubuhan A dan 3 daripada 10 negara itu juga menjadi anggota kepada Pertubuhan B bersama 15 negara lain pula yang tidak menganggotai Pertubuhan A tadi.

15 negara Pertubuhan B selain 3 negara yang turut menganggotai Pertubuhan B itu pula menganggotai Pertubuhan C bersama 7 negara yang turut menganggotai Pertubuhan A dan 20 lagi negara yang menjadi anggota Pertubuhan D. Dapat dilihat bahawa semua 55 buah negara itu sebenarnya saling bekerjasama dalam platform-platform berbeza. Platform pertubuhan-pertubuhan itu juga alat NWO. Walaupun NWO tidak lagi cuba dijayakan sepertimana gaya perang Axis, Allied Forces dan sebagainya yang pernah mewarnai siri peperangan dunia, NWO sudah terlaksana dengan bersistem melalui penerapan nilai-nilai kehendak Barat kepada dunia.

Jika peperangan dunia bertindak memaksa negara-negara jajahan menerima sistem politik penjajah melalui kolonialisme NWO (NWO via war), maka kini NWO dijayakan secara lebih sistematik melalui penerapan nilai NWO tanpa perlu berperang, sebaliknya melalui meja rundingan…. dan juga melalui parti-parti politik yang ‘berunding’ dengan rakyat bagi meraih undi majoriti. Rundingan itu pula selalunya tidak praktikal.

Dalam apa juga keadaan, Islam tidak wajar tunduk kepada kehendak sekularis dan sekularisme, dan juga kaum kafir. Islam tidak wajar menerima tolak ansur yang memperkecilkannya dalam menegakkan prinsip-prinsipnya. Dalam dunia hari ini, negara-negara Islam terutama liga negara Arab tertunduk kaku di hadapan kehendak sekularis yang memperkecilkan agamanya.

Islam tidak harus tunduk kepada pluralisme. Islam tidak perlukan persamaan dengan akidah agama lain. Hak-hak agama Islam tidak harus disamakan dengan akidah agama lain. Jika sebuah parti politik Islam bekerjasama dengan parti sekularis dalam sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, maka ia harus sedaya upaya tegas menjadi dominan dan memimpin parti sekularis itu tadi. Ia tidak harus tunduk, sebaliknya menjadi dominan kerana ia sebuah ikatan majoriti dan berpengikut paling ramai kerana majoriti rakyat juga adalah beragama Islam. Ia sebuah parti paling besar sepatutnya menjadi dominan kepada parti sekularis yang minoriti yang tidak mampu meraih sokongan tanpa bantuannya.

Dalam contoh itu juga memperlihatkan kepada betapa seluruh isi dunia termasuk umat Islam semakin menerima pujukan sekularis yang lebih dominan walaupun sekularis itu hanya melibatkan sebilangan kecil. NWO sudah pun terlaksana.

Belajarlah daripada air yang mustahil dipisahkan hidrogen dan oksigen daripadanya. Sebaldi air itu lebih dominan daripada semeja dipenuhi makanan kepada seseorang yang seminggu tidak mengisi perutnya. Orang lapar itu sudah tentu akan meneguk air terlebih dahulu sepuas-puasnya.

Jangan pula terlupa, dalam usaha mencari air..

“(Yang diberi/dijanjikan kelihatan seperti) air itu sebenarnya api, (dan yang kelihatan seperti) api itu sebenarnya air…”

begitu juga keadaannya di Malaysia

Filed under: stalker

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: