BIDUANDA

Ikon

satu dunia satu agama satu tuhan

Wanita Menawan Di Alam Syaitan

 “Selepas kata-kata itu dilafazkan, terlihat seperti ada tingkap. Semakin lama, semakin luas bukaannya. Aku lihat ada perempuan cantik menanggalkan pakaiannya satu persatu di depan mataku. Kemudian aku sayup-sayup terdengar suara Pak Ku berulang kali memesan ‘jangan melangkah walau setapak’. Terdengar suara Pak Ku begitu jauh sekali walaupun hakikatnya Pak Ku hanya duduk beberapa inci di sebelahku.”

Interesting. Cukup menarik kisah ini. Kisah yang dialami oleh seorang rakan blog.  Walaupun cerita itu sudah lama berlalu, baharu sekarang dia sudi berkongsi pengalaman hebat tersebut bersama kita semua.  Bermula dari satu niat ikhlas ingin membantu sesama insan menyelesaikan masalah rumit yang sukar diduga halacaranya. Dalam pada itu tak semena-mena dia diberi kesempatan (atau satu ujian?) menjengok ke alam syaitan. Heeii seram juga kita mendengarnya.

Walau apa pun, memang terserlah keikhlasan hatinya memberitakan pengalaman anehnya. Di satu ketika semasa sibuk membuat liputan satu kejadian “histeria”, terjadinya peristiwa ini. Beliau sanggup menyimpan kisah ini dan tidak memaparkannya dalam mana-mana penerbitan. Padahal dia seorang pemberita (reporter). Bukan kerana nama. Itulah yang boleh kita kelaskan terhadap sikap dan tindakan rakan kita itu.

Dari cerita ini (pastinya cerita benar – bukan fiksyen) maklumlah kita bahawa betapa liciknya syaitan dalam kerjanya memperdaya manusia.  Calang-calang orang tentu sahaja akan tergelonsor menyembah dikaki mereka.  Alhamdulillah, selepas membaca kisahnya itu, saya dapat rasakan rakan kita itu amat bertuah kerana telah diuji dan berjaya pula mengharunginya dengan bantuan seorang yang arif.  Terfikir pula saya bagaimana jika kita diuji sedemikian, berjayakah kita mengatasinya?  Allah Maha Adil.Hanya yang layak dan mampu sahaja akan diuji.

Dari kisah ini juga kita dihidangkan dengan satu keanihan yang lain. Satu kelebihan yang ada pada kaum muslimin semua tanpa kita sedari. Sebahagian besar dari kita menganggap remeh dan ambil mudah mengenainya. Iaitu WUDUK dan AZAN. Jika perkara sekecil ini mempunyai kehebatan yang menabjubkan, apa lagi perkara yang lebih besar dan gah.

Kesimpulannya setiap sesuatu yang difardhukan atau  disunatkan, pastinya punya kelebihan dan kebaikan samaada kita tahu atau tidak. Jangan lagi meremehkan setiap amalan yang diajar didalam agama.  Bersyukurlah kita dilahirkan sebagai orang Islam, harapan saya jangan lagi ada sesiapa yang cuba meninggalkan agama mulia ini.  Satu kerugian yang amat nyata.

Kisahnya saya bawa untuk tatapan sesiapa yang belum mengetahuinya.

Malam itu selepas selesai solat Maghrib, Pak Ku berpesan kepada aku supaya menjaga wuduk supaya tidak terbatal. Pak Ku juga berpesan supaya aku berniat dalam hati untuk terus pergi ke masjid untuk menunaikan Isyak apabila tiba waktu.
Pak Ku membawa aku ke belakang sekolah itu, dia duduk di sebelah kanan aku dan pembantunya di sebelah kiri aku.
“Pak Ku nak tunjuk satu perkara kat hang. Tapi Pak Ku pesan, jangan langkah ke depan atau ke belakang. Tetap berdiri tegak, jangan bergerak-gerak. Banyakkan bertasbih dan jadikan hati tak sabar nak menunaikan Isyak pula selepas ini.” pesan Pak Ku.
Aku mengangguk tanda faham walaupun aku sebenarnya kurang faham tujuan Pak Ku. Kemudian Pak Ku membaca ayat-ayat suci al-Quran dan diakhiri ‘sodaqollah-hul-azim’.
Pak Ku kemudian melafazkan:
“Kamu juga makhluk Allah. Kami juga makhluk Allah, tapi kami khalifah yang beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan semua janji-janji-Nya. Aku berserah kepada Allah, Maha pencipta yang menciptakan ‘kamu’ dan kami. Perlihatkan anak Adam ini dengan dunia kamu, dengan kalimah La-ila-ha-illallah.” lafaz Pak Ku.
Selepas kata-kata itu dilafazkan, terlihat seperti ada tingkap. Semakin lama, semakin luas bukaannya. Aku lihat ada perempuan cantik menanggalkan pakaiannya satu persatu di depan mataku. Kemudian aku sayup-sayup terdengar suara Pak Ku berulang kali memesan ‘jangan melangkah walau setapak’. Terdengar suara Pak Ku begitu jauh sekali walaupun hakikatnya Pak Ku hanya duduk beberapa inci di sebelahku.
Aku lihat ada dunia di belakang wanita itu. Ramai juga dayang-dayangnya yang cantik-cantik. Ada juga ular jinak berlingkar-lingkar di kaki wanita yang sudah tidak berpakaian itu. Aku tetap berpegang kepada pesanan Pak Ku, jangan bergerak walau setapak.
Kemudian aku terdengar suara wanita itu seperti dia berbisik ke telingaku walaupun bibirnya sedikit pun tidak bergerak: Kamu manusia yang menginginkanku, aku berikan segala yang kamu mahu, melangkahlah ke arah ku,” itu bisikan yang menyusup deras ke pangkal jiwa, sekadar yang aku masih ingat.
Perlahan-lahan, wajah wanita muda itu bertukar hodoh. Ular jinak tadi pula semakin ganas seperti mahu membaham aku.
Sayup-sayup, aku terdengar satu suara seperti memanggil-manggil jiwaku. Suara itu sebati dengan niatku sebelum itu. Tingkap itu terus tertutup sedikit-demi sedikit, sempat juga terlihat ‘anak-anak kecil’ berlari menyusup masuk ke tingkap yang sedang tertutup itu. Terasa belakangku ditepuk, aku dengar suara Pak Ku membisikkan dua kalimah syahadah di telingaku. Kemudian, aku terasa seperti terjaga daripada lena.
Pak Ku kemudian membaca sesuatu dan melontar beberapa ketul batu bersama pembantunya ke arah kawasan yang aku menghadap tadi.
“Jom kita pergi sembahyang Isyak,” itulah peringatan Pak Ku sebaik aku ‘terjaga’.
Selesai solat Isyak, Pak Ku menceritakan perkara sebenar kepada aku. Menceritakan mengenai perkara yang aku lihat sebentar tadi tetapi tidak faham.
“Pak Ku suruh hang jaga wuduk supaya hang tak disentuh makhluk tadi. Pak Ku suruh hang kuatkan azam untuk tunaikan solat Isyak supaya azan Isyak yang hang dengar tadi itu dapat panggil jiwa hang daripada terus terbuai dengan godaan syaitan. Niat untuk tidak mahu tinggalkan waktu Isyak itulah yang menguatkan jiwa hang.
“Jiwa hang terpanggil oleh azan tadi disebabkan hang niat nak solat dengan ikhlas. Syaitan tak mampu goda manusia kalau manusia tu ikhlas. Itu senjata kita” kata Pak Ku.
“Yang tadi tu syaitan?” aku tanya.
“Ya. Itu syaitan yang sangat benci manusia dan selalu mahu menyesatkan manusia. Dia (syaitan) berusaha untuk goda dengan cara tadi (menjelma wanita berbogel) sebab dia tahu isteri hang tak ada di rumah. Sebab dia tahu hang rindu isteri hang.
“Tapi mujur hang tak melangkah walau setapak. Sebab kalau hang melangkah walau setapak tidak kira ke depan atau ke belakang pada masa tu, hang akan melangkah masuk ke dunia ‘dia’. Kita manusia ni dilarang masuk ke dunia dia (syaitan). Yang hang tengok tadi cuma dari luar pintu. Hang tak masuk pun dalam dunia tu.,” kata Pak Ku.
“Tapi, kenapa Pak Ku buat macam tu. Saya tak mintak pun Pak Ku tunjuk semua tu kat saya,” aku menyoal.
“Pak Ku buat macam tu sebab Pak Ku nak bagi peluang hang tengok apa yang sebenarnya ada di belakang sekolah ni. Sebab Pak Ku yakin, hang takkan melangkah masuk. Atas sebab tu Pak Ku bagi peluang kat hang,” kata Pak Ku.
“Sebelum saya sedar tadi, ada ‘benda’ macam budak-budak kecil berlari masuk ke situ. Apa benda tu? Lepas tu, apa yang Pak Ku lontar batu?” aku tanya lagi.
“Itu juga syaitan, jin. Lontar batu tu sebagai tanda benci kepada syaitan, tapi tak sama macam melontar di Mekah. Lontar tu sebagai amaran supaya dia jangan ganggu anak Adam lagi. Makhluk-makhluk kafir tu lari masuk ke dunia dia selepas dengar azan Isyak. Pak Ku pilih waktu antara Maghrib dengan Isyak sebab waktunya pendek. Kalau Pak Ku ambil waktu antara Isyak dengan Subuh, itu nampaknya hang kena tahan godaan dalam tempoh yang lama. Lagi pula kalau wuduk terbatal antara waktu yang panjang tu, maka lagi senanglah dia nak goda.
“ Pak Ku buat ni sebab dapat rasa yang hang ni susah nak percaya kat bomoh-bomoh tipu yang hanya nak ambik kesempatan atas hang untuk glamer di surat khabar.  Pak Ku buat ni sebagai nak bagi hadiah atas kesudian hang bagi peluang kat Pak Ku untuk tolong budak-budak ni. Terima kasih sebab percaya dengan niat Pak Ku. Tak perlu tulis cerita Pak Ku cuba ubati budak-budak sekolah ni dalam surat khabar,” jelas Pak Ku.
Artikel sepenuhnya…..  teruskan menggali rahsia tersembunyi







Saya sogok sedikit berita histeria untuk mereka yang terlepas pandang. Cerita rakan saya itu berlaku ditempat lain.





Nampak lembaga hitam
Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my




Seorang mangsa yang lesu selepas diserang histeria dipapah keluar dewan peperiksaan untuk dipulihkan di Temerloh semalam.





TEMERLOH – Sebatang pokok balak yang berada di hujung padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Pulai di sini didakwa mungkin menjadi punca beberapa siri serangan histeria terhadap 85 pelajar perempuan sejak lima bulan lalu.

Pokok setinggi 10 meter itu tumbuh di pinggir hutan yang bersempadan dengan pagar padang sekolah berkenaan.
Dalam satu kes, seorang mangsa dikatakan telah dirasuk dan menjerit-jerit meminta dihantar ke pokok itu bulan lalu.
Seorang mangsa serangan histeria yang hanya mahu dikenali sebagai Rin memberitahu Kosmo! : “Apabila cikgu tanya, dia (mangsa) kata tempat asalnya itu ialah bawah pokok di hujung padang sekolah.”
Rin turut terkena serangan histeria dan pengalaman ngerinya itu bermula apabila dia mendakwa ternampak lembaga hitam berkeliaran di sekitar tandas dan kelas tidak lama sebelum bulan Ramadan bulan lalu.
Sebaik terserempak dengan lembaga hitam berambut panjang itu, Rin menjadi lesu dan terus meracau-racau.
Pelajar tingkatan lima itu berkata, badan dan kepalanya juga terasa berat sehingga akhirnya tidak sedarkan diri.

Filed under: azan, histeria, Syaitan, wuduk

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: